Suasana masyarakat kini
Melihat kepada suasana masyarakat sekarang, mata menjadi berat memandang. Hakikatnya berat lagi bahu memikul. Mulut pendakwah muda sentiasa saja celupar mengatakan mereka yang rosak ini teruk, tidak pandai dan segala hamburan keluar. Kalau dituju Times Square terutamanya pada hujung minggu, ramai pelajar sekolah rendah dan menengah bersama kelompok rakannya meluangkan masa di sana dengan melepak walaupun pada bulan ramadhan. Ketika melawat di Kinokuniya, segelintir daripada mereka tidak berhenti mulut murainya. Terpalit arang kemaluan dengan perangai pelik melayu hari ini. Manusia bermata sepet yang masih budak pun tahu erti diam di tempat awam. Ketika meyelusuri jalanraya pada waktu malam di sepanjang padang merdeka Shah Alam, masih ramai lagi remaja lelaki dan perempuan berdua-duaan di bangku melayan kerenah nafsu. Masjid negeri di sebelah hanya mampu memerhatikan perangai melayu kini. Pokok dan air tasik yang sedang berzikir memuji Allah di Taman Shah Alam sedih melihat diri mereka dicemarkan dengan pelaku tidak bermaruah ini. Ketika melihat pemandangan di sekitar KL, jarang sekali boleh ditemukan perempuan melayu yang kenal erti warisan melayu. Seluar jeans beserta baju ketat dan tudung segi tiga itulah pilihan mereka. Aksi Catwalk mereka mengundang panahan tajam hati bergelojak disekelilingya. Di manalah gadis melayu yang luhur pemikiran dan ilmunya. Kalau di universiti nisbah baju kurung dan baju tempurung sama sahaja. Otak memutar fikiran, kalaulah hendak dikatakan mereka yang memakai kain ala kadar ini kerana tiada ilmu tidak juga. Yang intelek tinggi pun masih dicucuk minda mereka dengan pemakaian ala penjajah ini. Ketika di pasar seni, sayu hati memandang sekumpulan budak sekolah rendah duduk bertinggung atas batu di tepi stesen bas membuka plastik besar melihat baju raya yang baru dibeli. Tiada ibu dan bapa menemani mereka. Berdikari itulah prinsip hidup mereka. Berbekalkan kesungguhan yang dipinjam daripada sahabatnya mereka jadi tabah menempuhi hidup di kotaraya. Ketika pulang dari solat terawih di masjid negeri Shah Alam, tersentak hati bila terlihat pakcik tua dengan selambanya menyalakan mancis membakar putung rokok. Mercedenya beserta dengan deretan kereta import ditepi jalan sepanjang masjid seolah dikaburi dengan perangai cabul pakcik ini. Bukan pakcik ini sahaja. Esoknya kejadian sama juga berlaku cuma orangnya muda sedikit.
Kenapa dilihat saja
Dakwah itu susah. Dakwan itu bukan mudah. Mengajak manusia berbuat baik susah jikalau sejak kecil lagi didikan mereka tidak dijaga dengan rapi. Sikap mereka sedari kecil lagi umpama paku yang terbenam dalam ke dasar kayu. Tidak mustahil untuk mencabutnya cuma mengambil masa yang lama. Ibu bapa mencorakkan mereka mengikut akal mereka. Kalau pemikiran ibu bapa sekular maka sekularlah pendidikan anaknya. Dakwah juga akan bertambah payah jika pendukungnya sendiri tidak mempunyai akhlak contoh kepada masyarakat. Bahkan akan meruncingkan lagi kerja dakwah kerana perspektif negatif daripada masyarakat sekitarnya. Pendakwah tiada duit. Setiap kali ceramah, pasti akan ada budak suruhan membuka kantung beg meminta sumbangan. Kerajaan pula sentiasa buat sekatan dengan kuasa polis tapi bila mereka punya majlis ‘on’ saja.
Perjalanan jauh
Usaha mendidik masyarakat sekitar amat susah. Tapi perkataan susah itu hendaklah ditepis jauh dan diganti dengan perkataan senang supaya motivasi mudah digapai. Tidak ku jangka Malaysia itu anak buah Mesir dari segi gejala sosial. Bukan 2 negeri ini sahaja gejala sosialnya parah. Setiap Negara ada cara tersendiri gejala sosialnya. Thailand dengan industri pelacurannya. Indonesia dengan kumpulan ganyang Malaysianya. Jepun dengan perlumbaan haram. Banyak kegiatan pelik dan tidak bertamadun di mana sahaja. Siapakah yang akan mendidik mereka semua ini. Pendakwah dan para ilmuan semakin lama semakin sedikit. Yang masih ada, hati mereka sangat cekal dan tabah mengharungi cabaran ini. Walaupun usaha mereka bagai ribut taufan tapi kesannya seperti menunggu ayam bertelurkan itik. Usaha memerlukan kesinambungan generasi pewaris oleh itu janganlah dikau kecewa dan berputus harap di tengah jalan akibat keputusan yang tidak seberapa. Pasti akan menyambut panji kamu jikalau mati menyusuli kamu. Rantaian ini pasti tidak akan terputus. Jalan yang kamu tempuhi bukanlah dari Syaimak ke Tir’ah tapi ia adalah suatu perjalanan yang jauh.
Coretan jalan-jalan KL dan Shah Alam
2 komen:
pd zmn manusia difobiakn ttg islam atau dsalahfahamkn ttg islam, maka pendekatan berkesan perlu dilakukan
masyarakat berubah, pendekatan dkwh jg perlu berubah
memanusiakan manusia y telah rosak
"akan ada segolongan dari kaum mu yang akan melakukan amar maaruf nahi mungkar" dan itu janji Allah..jgn kate pendakwah semakin sedikit kerana hakikatnya ahli badar dijanjikan syurga andai shahid dan yang mungkar tetap akan jatuh...
satu kata2 dari as-shahid hassan al-banna
"Janganlah kalian berputus as, kerana putus asa itu bukan dari akhlak muslim. Hakikat kenyataan hari ini adalah impian semalam, dan mimpi hari ini adalah hakikat dan kenyataan hari esok, dan waktu masih banyak. Anasir kekuatan sentiasa berada dalam jiwa kamu yang beriman, walau bagaimana besar pun kekuasaan kebatilan. Orang-orang yang lemah tidak akan menjadi lemah untuk seumur hidup dan orang yang kuat tidak akan kekal kekuatannya selama-lamanya "
"tegak kan islam dalam diri mu, nescaya islam akan tertegak di daulahmu"
Post a Comment