Friday, October 15, 2010

SAYA,KAMU,DAN KITA SEMUA.

Saya mempunyai keyakinan suasana inilah yang kita semua mahu supaya muncul di bumi Mansurah ini.

Mansurah ada banyak persatuan.Semua persatuan yang ada ini bekerjasama antara satu sama lain.Tiada kes pergaduhan,tiada kes perebutan ahli,tiada kes melarikan pelajar baru,tiada kes ugutan pukul,dan tiada kes kata mengata.Semua persatuan yang ada menjalankan peranan masing-masing dalam suasana yang penuh harmoni.Alangkah tenangnya perasaan kita semua kalau begitu yang berlaku.

Malangnya,apa yang terjadi bukan seperti yang kita harapkan.

Saya juga yakin suasana inilah yang kita semua harapkan supaya menerangi bumi Mansurah ini.

Mahasiswa mahasiswi Mansurah mempunyai kesedaran yang tinggi dan jelas untuk belajar ilmu perubatan dengan bersungguh-sungguh.Hampir keseluruhan mahasiswa mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.Ada juga mahasiswa yang gagal namun,bilangan itu tidak sampai pun sepuluh orang.Itu pun selepas peperiksaan dur thani mereka yang hampir sepuluh orang itu lulus dengan baik dan berjaya naik tahun seperti kawan-kawan mereka yang lain.Tentu sahaja Dr Nisrene akan berbangga dan kagum dengan kita semua mahasiswa mahasiswi dari Malaysia.

Nasibnya juga malang.Apa yang berlaku bukan seperti yang kita harapkan.Maksud saya masih belum lagi.

Saya masih yakin suasana inilah yang kita semua impikan supaya menjadi kenyataan di bumi Mansurah ini.

Mahasiswa mahasiswi Mansurah ikut perintah Allah dan takut untuk melakukan larangan Allah.Tiada kes khalwat,tiada kes minuman keras,tiada kes mendedahkan aurat,tiada kes akhawat yang keluar rumah pada lewat-lewat malam tanpa musyrif sehingga membahayakan diri sendiri,dan juga tiada kes mengunjungi tempat-tempat maksiat.Bahkan mereka semua rajin pula berpesan-pesan pada kebaikan dan menasihati supaya menjauhi perkara-perkara yang batil.Mesti Allah akan merahmati dan menyayangi kita semua di dunia dan di akhirat nanti.Insya Allah.

Malangnya,berita-berita yang kita tidak mahu dengar ini tetap mengalir masuk ke gegendang telinga kita.

Sebenarnya,masih ada banyak suasana yang indah-indah yang saya yakin kita semua terbayang-bayang supaya suasana itu akan muncul bersinar di bumi Mansurah ini.Cuma sahaja saya tidak mahu menulis itu semua kerana takut tulisan ini akan panjang pula lalu kawan-kawan saya semua akan jemu dan benci untuk terus membaca.

Untuk itu saya telah mencantas tulisan ini dengan terus sahaja menghulurkan dua harapan untuk kita benihkan di dalam hati kita semua.Hati saya dan hati kawan-kawan saya semua.

1.Jangan sampai putus keyakinan.

Tujuannya supaya saya dan kawan-kawan saya semua tetap memegang keyakinan kita ini dengan kejap jangan sampai goyah bahawa pada suatu hari nanti kita pasti akan mencapai impian-impian kita ini.Insya Allah.

Ada kemungkinan saya dan kawan-kawan saya semua akan gagal dalam mencuba untuk mencapai impian-impian kita untuk berjaya dalam pelajaran dengan cemerlang,untuk hidup aman tanpa pergaduhan,untuk mewujudkan biah solehah,dan untuk mencapai impian-impian kita yang lain.Lalu kita jatuh tersungkur sehingga sangat sukar rasanya untuk bangun semula.

Mungkin kita akan gagal sekali,mungkin dua kali,bahkan mungkin berkali-kali.Namun adakah disebabkan kegagalan kita yang masih belum cukup banyak itu kita sudah mahu berhenti daripada terus mencuba dan berusaha?

Kalau begitu malu betul kita seorang Muslim mempunyai semangat yang lemah dibandingkan dengan Kolonel Harland Sanders si penjual ayam goreng yang berjaya itu.Beliau hanya bermula pada usia 65 tahun dan menemui kegagalan beratus-ratus kali.Kecewa?Tentu sahaja beliau kecewa.Tetapi hal ini langsung tidak memutuskan semangatnya untuk terus mencuba dan berusaha.

Malu nanti kita dengan Haikal dan Arai.Mereka itu hanyalah budak kampung yang tinggal di pedalaman Indonesia.Namun disebabkan keyakinan dan impian mereka yang tidak pernah putus,akhirnya mereka berjaya mencapai impian mereka untuk melanjutkan pelajaran ke Sorbonne University di Perancis.

Sebelum itu,Haikal dan Arai ialah dua watak yang memotivasikan di dalam cerita Sang Pemimpi.

Sebenarnya,apa yang saya mahu beritahu pada diri dan kawan-kawan saya semua cuma satu.

Yakinlah pada Tuhanmu.

2.Sentiasa berusaha untuk membantu dan dibantu.

Ini pula harapan yang kedua.Kalau di dalam perkataan disebut bekerjasama.

Teruskanlah membantu dan dibantu dalam pelajaran moga-moga nanti mumtaz dan jayyid jiddan itu akan ditulis di atas slip keputusan peperiksaan kita.Jangan berhenti daripada berdakwah kerana mana tahu nanti ada kawan-kawan kita yang hatinya akan tersentuh dengan cara hidup Abal Qasim SAW.Jangan putus asa daripada menganjurkan program-program yang bermanfaat kerana mungkin hasilnya kita belum nampak lagi sekarang.

Yang penting kita semua sentiasa berusaha untuk membantu dan dibantu.Gunakan medium persatuan yang ada untuk kita membantu dan dibantu.Setakat ini saya masih lagi selesa dengan PCM sebagai medium saya untuk membantu dan dibantu.

Hal-hal kompleks seperti hubungan antara persatuan-persatuan lain kita serahkan kepercayaan kita kepada pimpinan kita.Tahulah mereka nanti bagaimana untuk selesaikan.Jangan kerana hal-hal rumit dan rantingan ini habis semua tanggungjawab yang terpikul di atas bahu kita jatuh ke tanah.

Usaha membantu dan dibantu mesti diteruskan.Supaya kita dan kawan-kawan kita yang lain akan menjadi lebih baik dari semalam.Bukan kita hanya pandai mencadang itu dan ini,muhasabah perkara itu dan perkara ini,yang sepatutnya begitu bukan begini,kita kena menjadi seperti itu bukan seperti ini,kenapa di sini bukan di sana,dan lain-lain.

Hakikatnya,kita tidak pernah pun sinsing lengan baju turun ke gelanggang untuk membantu dan dibantu.Modal saliva dan dakwat itu penting.Siapa kata tidak penting?Tetapi alangkah lebih molek dan elok jika ada sama modal peluh dan keringat.Tentu nanti lebih banyak manfaat untuk kita dan orang lain sama.

Saya bersedia untuk membantu dan dibantu dengan menggunakan PCM sebagai medium.Membantu dan dibantu dalam pelajaran,kebajikan,agama,dan lain-lain.Saya yakin kita akan mencapai impian-impian kita itu nanti insya Allah.Saya berbaik sangka dengan Tuhan kita.

Cuma sahaja masanya belum tiba lagi dan saya harus sabar mencuba dan berusaha sehingga cahaya kejayaan itu akan muncul.Saya juga percaya ramai kawan-kawan saya yang mempunyai kesediaan dan keyakinan yang sama seperti saya.

Percayalah.

sumber : Forum PCM

0 komen: