Saturday, April 18, 2009

Tarian Wanita di Festival Asean 09 (Mesir) suatu Teguran

Kitab mana yang dirujuk, hadis mana yang diteladani, dalil apa yang dipakai sehingga ada pihak yang sanggup menghidangkan tarian wanita di khalayak ramai lebih-lebih lagi kepada para bakal ulamak mahasiswa Islam Al Azhar.Kejadian ini mungkin tidak menjadi hal dan isu sekiranya penontonnya semua wanita atau gadis. Fikirlah sendiri!


Apakah atas nama kebudayaan anda sanggup membiarkan ibu, kakak ,adik atau isteri anda berdansa mengiburkan orang ramai. Bagi orang yang tidak faham tentang keluhuran Islam pasti fenomena ini biasa sahaja tetapi cuba bayangkan ia dihidangkan buat bakal ustaz dan ustazah.

Darurat sangatkah sehingga atas nama budaya kita merelakan gadis muslimah kita berdansa, berlenggang-lenggok punggung dan kepala mempamerkan kelembutan gemalai susuk tubuh di khalayak ramai.Apakah dengan mengenakan tudung dan berpakaian sopan sudah dianggap melepasi syarat, hukum dan tatacara berbudaya menurut Islam.

Siapa yang ajar? kitab fekah mana yang dirujuk untuk mengharuskan pengeksploitasian gadis atau wanita muslimah atas nama budaya ini.Bukankah kita perlu berbudaya mengikut Islam bukan Islam terpaksa mengikut kehendak budaya kita.

Bukankah jalan yang lebih selamat boleh difikirkan untuk wanita berbudaya misalnya persembahan tarian tersebut hanya dipersembahkan kepada penonton wanita muslimah sahaja. Islam amat bertoleransi dalam semua hal namun kita yang ambil kesempatan memandang mudah dalam segala hal, kononnya atas nama kesederhanaan.

Bukan sederhana namanya kalau begitu, sudah terbalik menjadi songsang.

Sepatutnya ulamak harus begini


Peranan bakal ulamak sepatutnya ialah mewarisi kerja Nabi Muhammad SAW melaksanakan proses Islamisasi budaya. Bakal ulamak perlu mewarisi kerja nabi mengislahkan budaya jikalau kita memang sayangkan budaya bangsa. Sayangkan budaya bukan bermakna kita boleh sewenang-wenang mencampur adukkan maksiat dalam sebarang program yang dianjurkan. Malah ia menyalahi konsep kesederhanaan dalam Islam bahkan melampaui batas tatasusila berbudaya sebagai bangsa nusantara yang begitu lama memahami Islam sejak zaman berzaman.

Ingatlah! jikalau bertudung sekalipun wanita muslimah tetap tidak sama sekali akan dianggap manis berakhlak jika tergedik gedik menari dihadapan lelaki yang sentiasa memandang. Apakah kita terlalu dangkal untuk memahami kemuliaan yang sebenarnya yang harus kita letakkan kepada muslimah kita.

Membiarkan muslimah walaupun bertudung bergencok di hadapan lelaki yang bukan mahram hukumnya tetap haram. Ia sebenarnya tidak jauh konsepnya dengan tarian penari wanita gelek Mesir yang hanya membezankan hanya ialah pakaian dan cara tari yang lebih nampak bersopan namun yakinlah ianya tidak lebih dari itu. Apakah betul untuk menanggapi bahawa dengan mengenakan tudung di kepala kita sudah diharuskan melakukan sesuatu yang jelas bertentangan dengan adab Islam. Apakah ia menepati usaha Islamisasi budaya yang harus kita warisi dari manhaj kenabian.

Bukankah nabi mengislamkan dua perayaan Musyrikin Mekah yang penuh dengan maksiat, nabi menghalang wanita menari di khalayak ramai sambil lelaki bertepuk dan bersiul memuji dan memuja, budaya penyair yang memuja wanita dalam bait syair mereka, arak menjadi hidangan, semuanya nabi Islamkan menjadi amalan yang baik dan bernilai ibadah.

Ingatlah! bertudung bukan syarat menghalalkan wanita menari dihadapan para lelaki ajnabi. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Bukankah Islam sudah jelas panduannya, kalaulah nak bergencok sangat menarilah puas-puas sesama wanita sahaja, itulah kewajarannya bukan?.

Apa yang lebih dikesalkan ialah penglibatan para aktivis dakwah daripada NGO dakwah seperti Abim dan Isma bersekongkol dengan Nadi Umno bagi menjayakan festival yang dicemari dengan aksi tarian yang amat tidak sesuai dipersembahkan kepada ummat Islam lebih-lebih lagi para Mahasiswa Al Azhar.

Dimanakah keperihatinan mereka sebagai NGO dakwah untuk memberikan teguran jika ada yang dilihat janggal dalam program tersebut, atau berkemungkinan Abim dan Isma lebih suka memilih jalan selamat untuk menjaga kepentingan dan survival diri dari memberikan teguran terhadap keaiban yang berlaku.Insafilah! sesungguhnya NGO Islam perlu bingkas bangun tegas dengan perinsip dan wadah yang jelas.

Penulis amat bersimpati kepada pihak penganjur yang terdiri daripada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah yang terpaksa berhadapan dengan isu tarian gadis di khalayak ini, berkemungkinan mereka tidak tahu menahu tentang persembahan tarian tersebut.
Usaha kedua-dua pihak terbabit untuk memperkenalkan budaya bangsa di Mesir telah dicemari oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang sengaja mencemarkan nama baik masyarakat Malaysia Mesir yang terkenal dengan ketinggian akhlak Islam dek pembabitan tarian gadis di khalayak ramai.

Akhirnya, demi nama baik masyarakat Malaysia di Mesir,mana-mana pihak yang terbabit menjayakan persembahan tarian tersebut digesa tidak mengulangi lagi kecacatan tersebut dalam apa jua progaram mendatang.Kalian perlu bertanggungjawab dan berkewajipan memohon maaf kepada semua masyarakat Malaysia Mesir yang merasa malu dek kerana bahana tarian yang amat menjengkelkan tersebut.

Tegasnya kita sebagai ummat Islam tidak menolak sebarang kebudayaan tetapi biarlah ia diselarikan dengan tuntutan Islam.

Fikirkanlah rasionalnya.
link video

http://www.youtube.com/watch?v=R0Mbj-1kpfI&feature=channel_page

Sekian.

ww.detikdaily.net

0 komen: