Sunday, June 21, 2009

Kisah musim panas ( edisi 1 )

Keluar sahaja aku dari dewan peperiksaan ketika ditahun 2 lalu terasa seperti telerai segala rantaian besi yang membelenggu selama dua bulan berturut - turut. Dewan yang berlandskapkan gua bersama dengan bebanan soalan rumit dari setiap subjek betul - betul telah mengajarku erti kehidupan sebenar di dunia ketiga ini. Meja kecil untuk menulis sentiasa terumbang - ambing seperti sampan kecil menongkah arus ombak di tengah lautan besar. Jarak di antara setiap meja sangat dekat sehinggakan yang berhati baik tidak pernah meniru, 'terpaksa' meniru kerana 'terlihat' kertas jawapan orang sebelahnya dengan tidak sengaja. Dua biji mata pengawas berputar seperti bumi mengelilingi orbit memerhati mereka yang meniru. Tapi, apakan daya mereka hendak mengawasi setiap calon yang sangat hampir jaraknya antara satu sama lain. Realiti peperiksaan tahun lepas.

Ustaz yang selalu mengajarku pada setiap pagi di rumah bujang senang sudah pulang atas sebab - sebab mustahak yang perlu diuruskan. Aku bersama pelajar madrasah yang lain teronar memikirkan pengajian yang hendak diisi untuk cuti musim panas ini. Majoritinya balik. Sebilangan besar yang menetap di sini terpaksa menghadapi peperiksaan dur tsani. Tinggallah beberapa insan yang berjaya dalam peperiksaan untuk mengruskan segala kelancaran aktiviti dan program di mansurah ini bermula daripada musyrif sehinggalah kepada persatuan. Bergilir - gilir mereka ini menjadi musyrif bagi yang ingin pulang ke Malaysia. Ammu Magdi dan rakannya tersenyum lebar dek poket jubah yang semakin besar sarat dengan duit pelajar yang pulang hari demi hari.

Madrasah Imam Nawawi sudah pun diberhentikan buat seketika. Ustaz berpesan supaya diadakan satu usrah untuk mengulangkaji apa yang telah dipelajari. Tetapi malangnya usrah ini hanya beberapa kali sahaja berjalan kerana komitmen yang kurang dan masing - masing ada kerja tersendiri. Terdetik di hatiku, kalau beginilah perjalanan usrah, bagaimanalah aku hendak mendidik jiwa ini yang sentiasa cenderung kepada kejahatan tambah pula pada musim cuti ini yang sangat kosong. Hati ini akan sentiasa melencong kepada perkara tidak baik apabila tiada perkara hendak dibuat. Ku berfikir...

bersambung...

P/S : "nulis pon nulis gok. pekso pun pekso gok" tegur seorang abang yang selalu mendidikku erti perjuangan supaya fokus kepada ulangkaji dan jangan terlalu ghairah menulis.

0 komen: